Rakaman CCTV menunjukkan suspek menumbuk remaja yang juga pekerja di kedai serbaneka. FOTO Ihsan Shahrul Aminshah
Rakaman CCTV menunjukkan suspek menumbuk remaja yang juga pekerja di kedai serbaneka. FOTO Ihsan Shahrul Aminshah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kajang: Dua lelaki yang mencederakan pekerja premis serbaneka di Bandar Rinching di sini, semalam ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah KajangAsisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 32 tahun ditahan di dua lokasi berbeza oleh Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

"Kedua-dua suspek ditahan di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor sekitar jam 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari, hari ini.

"Polis turut merampas dua telefon pintar milik suspek bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek juga masing-masing memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya pada kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Semalam, Harian Metro melaporkan, mangsa yang juga pekerja kedai serbaneka berusia 18 tahun didatangi lelaki yang ingin membeli minuman, jam 5 pagi.

Seorang daripada mereka mengambil tiga batang payung dan keluar daripada premis tanpa membuat bayaran.

Mangsa kemudian menegur perbuatan lelaki terbabit sebelum berlaku pertengkaran mulut.

Lelaki terbabit kemudiannya kembali ke dalam premis dan menumbuk muka mangsa.

Seorang daripada lelaki terbabit sempat berswafoto bersama mangsa selepas mencederakannya sebelum beredar meninggalkan premis.

Kejadian itu kemudiannya tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 3:49 PM