RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Dua lelaki yang ditahan selepas dipercayai menumbuk muka pekerja kedai serbaneka sebelum mengambil swafoto bersama mangsa di Semenyih, pada 20 Jun lalu, direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 32 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini, pagi tadi.

Reman terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini sehingga 27 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Shahrul Aminshah Aziz, 40, berkata, dia bersyukur apabila polis berjaya mengesan dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes tumbuk anak lelakinya berusia 18 tahun.

"Saya bersyukur apabila dapat tahu bahawa polis berjaya mengesan mereka.

"Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera dan pesalah itu mendapat hukuman setimpal dengan sakit serta trauma dialami anak saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai keadaan terkini anaknya, Shahrul Aminshah berkata, anaknya itu masih cuti sakit akibat kecederaan dialami.

"Luka dan bengkak ditumbuk (muka) agak teruk yang memerlukan dia mengambil cuti sakit.

"Malah, dia masih perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital, esok," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pekerja sebuah kedai serbaneka di Bandar Rinching, Semenyih, cedera di muka selepas ditumbuk lelaki mabuk kerana menegurnya mengambil payung di dalam premis kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Malah, suspek sempat mengambil swafoto bersama mangsa sebelum beredar meninggalkan premis.

Susulan itu, pihak polis menahan kedua-dua suspek dalam serbuan berbeza di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor, jam 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 12:48 PM