GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita pekerja ladang kelapa sawit didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah mengemukakan maklumat palsu berkaitan ibu kandung semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran 22 tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap Norliza Sahari, 39, selepas menerima pengakuannya, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan Norliza didakwa mendaftarkan kelahiran Muhammad Faizul Hakimie dengan mengisi maklumat kad pengenalan atas nama Diana Mohamed sebagai ibu kandung di dalam borang permohonan pendaftaran kelahiran (JPN.LM01).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada 9 Julai 2001, 9.56 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(b) Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Mengikut fakta, hasil siasatan JPN Bentong mendapati tertuduh mengaku secara lisan bahawa penama Muhammad Faizul Hakimie adalah anak saudaranya dan bukan anak kandung Diana yang dinyatakan dalam borang permohonan (JPN.LM01) Nombor Daftar Kelahiran AW54721.

Perbuatan itu terbongkar ketika Muhammad Faizul Hakimie hadir ke JPN Bentong, Pahang untuk membuat kad pengenalan pertama tanpa kehadiran ibunya pada 2021.

Hasil siasatan JPN, Diana Mohamed mengesahkan dia tidak mempunyai anak dan membuat laporan polis mengenai butiran kad pengenalannya digunakan orang lain.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Zukarnain Ahmad dan Mat Razali Samsuddin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh dari Triang, Pahang yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 7:41 PM