GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Seorang wanita didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan memberi maklumat palsu berkaitan kanak-kanak lelaki yang didakwa sebagai anak kandungnya.

Ye Bee Chan, 41, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dihadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jika gagal bayar, Ye boleh dikenakan hukuman penjara sembilan bulan.

Mengikut pertuduhan, Ye sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa memberi maklumat palsu dalam butir material pada permohonan kad pengenalan 12 tahun di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan.

Perbuatan itu dilakukan pada 21 Februari 2022 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Jempol.

Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007 dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, wanita itu ditahan dalam operasi terancang, semalam kerana mendaftarkan kanak-kanak sebagai anak kandung yang sah dan memohon kad pengenalan kali pertama kanak-kanak itu dengan menggunakan sijil kelahiran yang mengandungi maklumat palsu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Rohaida Adnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 6:30 PM