GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: "Saya harap kamu menggunakan peluang ini dengan sebaiknya, perbaiki diri kamu dan mulakan kehidupan baharu.

"Kamu patut bersyukur kerana kamu ada pilihan untuk diberi pertuduhan yang lebih ringan daripada pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM)."

Demikian nasihat Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengenakan hukuman denda RM8,000 terhadap seorang pembantu pendaftaran kanan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana menerima suapan RM2,000 sebagai upah membantu mempercepatkan proses kad pengenalan seorang remaja lelaki, tiga tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Zulfadli Wan Zain, 42, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan mahkamah juga memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Azura turut menasihatkan lelaki itu supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Berdasarkan fakta kes, Bahagian Perisikan SPRM membuka satu aduan berkaitan Ops Japan iaitu aduan berkaitan sindiket permintaan dan penawaran wang rasuah membabitkan pegawai di JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan 'runner' (orang tengah) bagi menyelesaikan urusan berkaitan pengeluaran dokumen pengenalan diri oleh jabatan itu pada 11 Mac 2019.

Dalam operasi itu, seorang pegawai SPRM menyamar sebagai 'runner' kepada JPN manakala seorang pegawai JPN WPKL dilantik sebagai ejen perisik.

Sim Eng Hua, 60, berjumpa pegawai SPRM dan pegawai JPN berkenaan serta seorang 'runner' kepada Sim di sebuah kopitiam di Publika Hartamas, pada 9.15 malam, 27 Februari 2020 dan memaklumkan bahawa remaja lelaki berumur 17 tahun itu anak angkat dan merasa takut untuk membuat permohonan kad pengenalan anaknya itu kerana pengesahan kelahiran di sebuah klinik bersalin.

Klinik berkenaan antara klinik diragui ketulenan dokumen pengesahan kelahiran oleh pihak JPN kerana kebanyakan kes adalah pengesahan dokumen palsu.

Pada 1 Oktober 2020, pegawai SPRM itu menghubungi tertuduh melalu mesej aplikasi WhatsApp berkaitan proses mendapatkan kad pengenalan remaja terbabit selepas senarai hitam dibuka, ia bertujuan bagi mengelak pegawai JPN mengesyaki ketika proses permohonan kad pengenalan di kaunter JPN.

Tertuduh memaklumkan kepada pegawai SPRM itu bahawa jumlah bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM2,000 dan selepas mengambil kad pengenalan di kaunter JPN, UTC Pudu, Sim memberi wang itu kepada pegawai SPRM berkenaan untuk diserahkan kepada tertuduh sebagai balasan mempercepatkan proses memperoleh kad pengenalan.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa sebagai pembantu pendaftaran kanan Gred KP22 yang bertugas di JPN, UTC Pudu di sini, menerima suapan RM2,000 daripada Sim melalui seorang lelaki sebagai upah membantu mempercepatkan proses kad pengenalan remaja berkenaan sedangkan kelahirannya di sebuah klinik bersalin adalah diragui.

Kesalahan itu dilakukan di gerai makan bersebelahan Hotel Ancasa, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, pada 6 Oktober 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuan untuk meringankan hukuman, Wan Zulfadli yang tidak diwakili peguam merayu supaya dia hanya dikenakan hukuman denda yang rendah memandangkan dia penanggung tunggal keluarga perlu menyara isterinya yang cacat penglihatan serta dua anak.

"Isteri saya orang kurang upaya penglihatan dan tidak bekerja. Saya yang menguruskan rumah dan persekolahan anak-anak. Saya mohon hukuman denda yang rendah kerana saya tak ada banyak duit," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah sebagai amaran dan peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 3:00 PM