ROZANA Ajak (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
ROZANA Ajak (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Akibat memberi maklumat palsu mengaku ibu kandung kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Rozana Ajak, 44, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu dalam sijil kelahiran seorang anak dengan mengaku sebagai ibu kandung selain menjadi penganjur dalam permohonan kad pengenalan di JPN Tawau, antara jam 10 pagi hingga 4 petang, pada 15 Jun 2010.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana dengan sengaja memberi maklumat palsu sebagai ibu semasa membuat Permohonan Kad Pengenalan 12 tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Amir Shah dalam menjatuhkan hukuman itu berkata, mahkamah memandang serius kes itu kerana memberikan maklumat palsu iaitu dengan mengaku sebagai ibu atau bapa kandung dalam sebarang urusan pemilikan dokumen adalah membabitkan isu kedaulatan negara.

Katanya, adalah menjadi satu kerugian jika hak warganegara diberikan kepada individu bukan warganegara atau pendatang asing.

"Justeru, kes seperti ini harus dijadikan pengajaran dan teladan supaya masyarakat di luar sana tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat palsu dalam sebarang urusan pemilikan dokumen," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh ditangkap iaitu pada 21 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah sementara tertuduh diwakili peguam Jhasarry P.Kang.

Tertuduh membayar denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 11:22 AM