Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan (KK) dan Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Beliau berkata, sebahagian daripada laporan itu sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan kini sedang menunggu tindakan lanjut.

"Saya telah mendapat dokumen termasuk dari laporan polis yang mengesahkan bahawa Menteri Besar Kedah secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan beberapa kenyataan.

"Pertama menuntut supaya Perlembagaan Malaysia dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah dan kedua menyatakan ada asas yang kukuh mengikut undang-undang bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

"Bagi seseorang yang ada kedudukan, kenyataan ini tidak bertanggungjawab dan polis sudah memulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukkan undang-undang sedia ada," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Anwar berkata, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan Negeri-Negeri Borneo iaitu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

"Mengapa perkara ini dibangkitkan? Memang betul sebab Pilihan Raya Negeri (PRN), apakah kerana nak gojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip perlembagaan dan timbulkan huru-hara.

"Dan ini yang menyebabkan timbul permasalahan. Kita dah merdeka lebih 60 dekad, parti-parti memerintah, tidak pernah dibangkitkan melainkan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang perlembagaan dan oleh yang demikian saya serahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai," katanya.

Anwar berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Guan Eng bahawa hal itu perlu dihentikan kerana ia melanggar prinsip perlembagaan yang diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 11:31 AM