ANWAR menyampaikan ucaptama di DBP, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR menyampaikan ucaptama di DBP, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu persempadanan negeri terikat dengan perjanjian penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan perkara itu tidak perlu dijadikan sandiwara politik.

Katanya, semua pihak perlu merujuk perkara itu kepada perlembagaan.

"(Kita) kena faham perjanjian yang ada walaupun beratus beribu tahun dibuat perjanjian itu tetapi (kena rujuk) dengan perjanjian terakhir - perjanjian Persekutuan Tanah Melayu...(penubuhan) Malaysia.

"Sebagai seorang Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) saya fikir wajar beliau membuat ulasan yang terikat dengan perundangan.

"Saya boleh komen ini berdasarkan ulasan Peguam Negara yang cukup jelas bahawa perkara ini perlu menghormati perjanjian perlembagaan yang diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah," katanya kepada media selepas Majlis Seminar Fikrah Siddiq Fadzil -Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Semalam, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak perlu mengambil kembali Pulau Pinang kerana negeri itu tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.

"Bukan nak ambil balik, bukan terlepas apa pun, memang hak kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 1:44 PM