MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas memberi kenyataan hampir sejam kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi pada sidang media selepas memberi kenyataan hampir sejam kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman. FOTO Syaharim Abidin
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan mendesak Perlembagaan dipinda dalam isu dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Beliau sebaliknya mendakwa, hanya mengeluarkan kenyataan menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa selepas bayaran kepada negeri itu, sejak 2018 hanya berjumlah RM10.01 juta.

Berikutan itu katanya, soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan jawapan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, adalah tidak tepat kerana merujuk kenyataan yang salah.

"Mereka dakwa saya melanggar Perlembagaan, tak kan minta harga semasa pajakan (Pulau Pinang) langgar Perlembagaan? Mereka tuduh saya suruh desak dan pinda Perlembagaan, sedangkan saya tak keluar kenyataan itu di mana-mana.

"Saya kata di dunia ini yang tak boleh pinda dua sahaja, iaitu al-Quran dan hadis. Saya tak suruh pinda Perlembagaan, mereka yang salah petik kenyataan di portal.

"Perbahasan di Parlimen semalam itu salah kerana merujuk petikan yang salah, mereka petik di portal dan kata saya desak pinda Perlembagaan agar Pulau Pinang masuk balik Kedah.

"Semua rujuk ke situ (portal), anak Tan Sri (Guan Eng) rujuk situ, Perdana Menteri rujuk portal itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi kenyataan hampir satu jam kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman, yang hadir merakam kenyataannya di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Rakaman kenyataan itu dibuat susulan siasatan yang dibuat polis ke atas Muhammad Sanusi mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Anwar dan Guan Eng sepatutnya menghubunginya terlebih dahulu dan bertanya kenyataan sebenar yang dikeluarkannya sebelum membahaskan perkara itu di Parlimen.

Katanya, beliau mempunyai nombor telefon yang boleh dihubungi selain pesanan WhatsApp yang boleh digunakan bagi bertanyakan maklumat berkaitan.

"Mana boleh rujuk sumber portal, sejak bila portal jadi sumber rujukan kerajaan? Kerajaan ada sumber dan ada cara untuk ambil maklumat. Asas maklumat kerajaan mana boleh ambil di portal, mereka patut tanya saya.

"Saya tak salahkan Perdana Menteri sebab yang tanya anak Tan Sri (Guan Eng) bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dia yang buat soalan dan petik daripada portal itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta penilaian pajakan Pulau Pinang dibuat semula Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mengikut nilai semasa.

"Saya pernah cakap dahulu nilai pajakan sepatutnya RM100 juta, jika kita hendak nilai semula kena lantik JPPH untuk buat penilaian dan keluarkan nilai sebenar.

"Tetapi saya kata RM100 juta kerana nilai itu adalah selepas diskaun, jika ikut nilai semasa mungkin lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 6:59 PM