WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap rakyat di Sabah dan Sarawak menyokong Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, bacaan kali kedua rang undang-undang itu di Dewan Rakyat dijadualkan pada Selasa ini selepas bacaan kali pertama pada 3 November lalu.

"Pelulusan rang undang-undang itu akan membuka laluan kepada lebih banyak hak yang selama ini terhakis dikembalikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Ini antara keutamaan saya buat masa ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri Tanah Melayu dan negeri Borneo. Ia dibentangkan oleh Wan Junaidi.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Wan Junaidi juga berkata, sejak dua hari lalu, beliau sibuk bertemu dengan pengundi tempatan dan orang ramai di Sarawak untuk berkongsi kemajuan inisiatif transformasi utama kerajaan yang dipelopori oleh kementeriannya dengan yang pertama ditampilkan ialah rang undang-undang itu.

Beliau berkata, tiga lagi inisiatif utama transformasi kerajaan yang dilakukan pihaknya ialah Transformasi dalam Pentadbiran Kerajaan, Pembaharuan Parlimen dan Kebebasan Institusi Kehakiman.

Katanya, transformasi dalam Pentadbiran Kerajaan termasuk undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik manakala Pembaharuan Parlimen terdiri daripada Pengenalan Semula Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan terhadap Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan memperkenal Kod Tata Kelakuan Ahli Parlimen.

"Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan manakala Rang Undang-Undang mengenai Pembaharuan Parlimen dijadual dibentang kepada Speaker pada pertengahan bulan Januari tahun depan dan dibentangkan di Parlimen pada Mac. Rang undang-undang mengenai undang-undang antilompat parti pula dijangka dibentang pada Julai tahun depan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada program libat urus anjuran Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong, mengadakan lawatan ke lima daerah di Sarawak iaitu Linga, Sri Aman, Spaoh, Lundu dan Sematan untuk bertemu rakyat secara peribadi di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 7:59 PM