GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Selepas tiga hari menerima rawatan, penunggang motosikal yang parah akibat dilanggar lari di Kilometer (KM) 13.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini, disahkan meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, mangsa meninggal dunia pada 10.40 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, mangsa lelaki berusia 50-an itu yang menunggang motosikal jenis Benelli dipercayai dilanggar dari belakang oleh kenderaan dari Bandar Sri Damansara menghala SS2.

"Kejadian berlaku kira-kira 8 malam Isnin lalu dan polis menerima maklumat kemalangan pada 10.16 malam.

"Mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh kereta, sebelum dia tercampak dan berlanggar dengan kereta di hadapannya, yang menyebabkan dia parah di kepala.

"Usaha mengesan individu terlibat sedang giat dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta saksi kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 0177378704.

Katanya, kes itu kini disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:27 PM