Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Pasukan teknologi maklumat (IT) Malaysia sedang giat memastikan kesiapsiagaan infrastruktur, talian, perkakasan komputer dan sistem untuk kegunaan operasi haji musim 1444H/2023M berjalan lancar, sekali gus mampu menampung trafik akses yang tinggi serta memenuhi keperluan 31,600 jemaah kuota penuh yang bakal tiba secara berperingkat dari tanah air mulai 21 Mei ini.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat bagi musim haji tahun ini, Shahidan Ishak berkata, pasukan IT membabitkan 21 anggota meliputi 17 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) dan empat lagi daripada syarikat bersekutu agensi itu, Theta Edge, adalah yang terawal tiba di Tanah Suci termasuk melalui penerbangan kumpulan Advance Party 1 pada 12 Mei lalu.

Beliau berkata, perkhidmatan IT dalam bidang rangkaian, sistem dan perkakasan komputer itu sangat kritikal bagi mendukung tugasan pelbagai pasukan lain dalam keseluruhan operasi haji di Tanah Suci, seperti bahagian bimbingan, kebajikan, maktab serta masyair.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Katanya, mereka antara lain memfokus memastikan semua perisian berkaitan dikemas kini serta dapat berfungsi secara berkesan, termasuk melakukan ujian kelancaran akses, dan memantapkan ketersediaan perkakasan komputer serta talian.

"Antara cabaran utama dari aspek IT ialah kestabilan rangkaian, khususnya ketika operasi masyair. Justeru, kita membuka beberapa pusat maklumat operasi di Arafah dan Mina, dengan kestabilan rangkaian menjadi antara perkara diberikan keutamaan bagi menampung keperluan berikutan pertambahan jemaah haji.

"Malah, kita sudah melanggan talian daripada beberapa pembekal perkhidmatan itu. Sekurang-kurang kita boleh memastikan jika ada talian terbabit yang mengalami kesesakan trafik atau tidak mencatat prestasi yang diharapkan, kita boleh bertukar kepada pembekal lain," katanya pada sidang media di ibu pejabat operasi haji Malaysia di bangunan Abraj Al-Janadriyah, di sini, lewat petang semalam (waktu tempatan).

Setakat semalam, seramai 176 petugas operasi haji kali ini sudah tiba di Tanah Suci melalui beberapa penerbangan Advance Party dari Malaysia. Mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan jumlah 670 petugas dijadualkan berlepas secara berperingkat bagi menyantuni Dhuyufurrahman dari tanah air pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, pasukannya bekerja tanpa henti kerana setiap sektor operasi haji akan mengguna pakai sistem dan kemudahan IT dalam semua pelaksanaan serta pengendalian urusan jemaah.

"Diharapkan dengan sokongan teknikal dan perkhidmatan IT disediakan ini, keseluruhan petugas operasi dapat memberi perkhidmatan yang baik kepada jemaah haji," katanya.

Sementara itu Pengurus Sistem IT bagi operasi haji musim ini, Parizol Amran, berkata pasukan berkenaan turut berfungsi membantu kelancaran urusan berkaitan kesihatan dan perubatan jemaah haji.

"Setiap jemaah haji yang membuat pemeriksaan kesihatan, mempunyai rekod dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Justeru pada tahun ini, kita memohon untuk mendapatkan data ataupun maklumat bagi keperluan rujukan pegawai perubatan di Tanah Suci. Usaha rintis ini masih dalam proses perbincangan," katanya.

Melalui inisiatif dilaksanakan, beliau yang memiliki pengalaman 10 tahun membantu operasi haji di Tanah Suci, jemaah haji diingatkan supaya menjaga kesihatan termasuk dari aspek pemakanan.

Pengurus Komputer, Fadzlie Chee Din pula memaklumkan pihaknya berperanan memastikan perkakasan dan peralatan IT disediakan di Tanah Suci adalah selamat, relevan dan masih boleh digunakan keseluruhan petugas haji Malaysia, termasuk pasukan perubatan.

"Antara fokus kita ialah memastikan ia berfungsi dan dikemas kini, selain dilengkapi perlindungan antivirus. Sebanyak 165 komputer riba disediakan dalam simpanan kita di Makkah, manakala 37 lagi di Madinah, tidak termasuk sejumlah lagi yang dibawa dari tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 1:45 PM