SYED Saleh merakam gambar kenangan bersama 475 Sahabat Maktab bagi musim haji 1439H.
SYED Saleh merakam gambar kenangan bersama 475 Sahabat Maktab bagi musim haji 1439H.
Tuan Asri Tuan Hussein

JEMAAH haji Malaysia mula pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat dengan penerbangan pertama XY01 berlepas dari Jeddah, 3.05 pagi 29 Ogos dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.45 petang.

Keseluruhannya, 81 penerbangan disediakan bagi membawa 30,200 jemaah haji pulang, membabitkan 47 dari Jeddah, bermula 29 Ogos hingga 15 September dan 34 dari Madinah, bermula 11 sehingga 25 September.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, penerbangan terakhir membawa jemaah haji pulang dijadualkan berlepas dari Madinah pada 2.10 petang, 25 September dan dijangka tiba di KLIA pada 3:40 pagi keesokan hari.

"Alhamdulillah prestasi operasi haji bagi tahun 1439H ini berjalan dengan lancar. Jemaah haji kita dapat menjalankan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur.

"Seperti biasa, jemaah kita berjaya meneruskan tradisi dengan mempamerkan imej jemaah yang tertib dan berdisiplin. Tahun ini, kita tambah satu lagi iaitu jemaah paling bersih.

"Ia hasil Kempen Kebersihan Perdana Masyair yang pertama kali Tabung Haji (TH) anjurkan tahun ini dengan tahap kejayaannya saya sifatkan 100 peratus," katanya dalam sidang media di pusat operasi TH di hotel Abraj Al-Janadriyah, Makkah pada Selasa.

Syed Saleh berkata, biarpun diuji dengan kejadian ribut ketika malam menjelang hari wukuf di Arafah pada 19 Ogos lalu, kerosakan kecil pada khemah dapat diatasi segera dan kejadian itu tidak memberi kesan besar hingga menjejaskan ibadat jemaah haji.

Menurutnya, bas terakhir membawa jemaah haji dari Mina selepas selesai urusan ibadat Masyair tiba di Maktab penginapan di Makkah pada 3.10 petang, 24 Ogos lalu.

"Masa yang dicatatkan itu jauh lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini; ada yang riba selepas Maghrib dan pernah juga bas terakhir tiba di Maklah selepas lewat malam," katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri program Majlis Penghargaan Sahabat Maktab bagi meraikan 475 jemaah haji yang secara sukarela menjadi Sahabat Maktab bagi membantu melincinkan urusan serta pergerakaan operasi haji tahun ini.

Menurutnya, program Sahabat Maktab mula diperkenalkan pada 2006 dengan hanya 12 jemaah haji menjalankan tugas sukarela untuk membantu mengagihkan makanan di setiap Maktab atau bangunan penginapan.

"Tahun demi tahun ia terus berkembang dan tahun ini, kita melantik 40 Sahabat Maktab di setiap Maktab, berbanding 35 orang pada tahun lalu.

"Saya amat terharu dengan komitmen tinggi ditunjukkan semua Sahabat Maktab dan sumbangan anda semua sangat-sangat kami hargai," katanya ketika berucap di majlis itu.

Syed Saleh kemudian menyerahkan sijil penghargaan kepada setiap Sahabat Maktab yang disampaikan melalui wakil Maktab masing-masing.

Keseluruhan, terdapat 12 Maktab untuk penginapan jemaah haji Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 5:41 PM