Oleh Redzuan Muharam


Bangi: Kotor, busuk dan menjijikkan. Situasi itu sudah lama menghantui penduduk aras bawah Flat Jubli Perak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi disebabkan tempat buang sampah yang letaknya berhampiran rumah mereka.

Sejak lebih tiga dekad menghadap masalah itu, penduduk menyifatkan mereka seperti mangsa keadaan apabila ruangan itu tidak diselenggara baik selepas penduduk aras atas membuang sampah menerusi refuse chute atau pengelongsor sampah.

Tinjauan Harian Metro mendapati bukan hanya sampah, malah haiwan perosak terutama tikus juga banyak berkeliaran dalam ruang berkenaan, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Seorang penduduk, Siti Normah Othman, 57, yang tinggal di Blok 5 Flat Jubli Perak berkata, dia sudah tidak tahan apabila masalah itu berlarutan tanpa penyelesaian, apatah lagi dia sudah menjadi penghuni kira-kira 30 tahun.

"Kotor dan memang tak selesa, lebih lagi apabila lori sampah datang, memang berbau dan (bau) semakin kuat terutama jika hujan.

"Lipas dan tikus dari tempat itu pun ada sampai masuk ke dalam rumah. Masalah sudah diajukan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tapi sampai sekarang tak selesai.

"Orang atas senang, buang saja sampah...kita duduk (aras) bawah yang terkesan. Pintu asal ruang sampah itu pula sudah roboh. Mujur ada jiran yang keluar duit sendiri menggantikannya. Jika tidak, berterabur sisa sampah," katanya.

Baginya, lebih elok sekiranya dibina rumah sampah yang lebih sempurna, berbanding ruangan itu, sekali gus tidak menyebabkan mereka merana.

"Sekarang ini nak rehat dalam rumah pun tak senang, nak masak dan makan di dapur pun tak berselera kerana bau busuk. Tapi apa pilihan yang kami ada melainkan hadap masalah ini," katanya.

TAPAK tong sampah yagn disediakan untuk kemudahan penduduk Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. FOTO ROHANIS SHUKRI
TAPAK tong sampah yagn disediakan untuk kemudahan penduduk Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. FOTO ROHANIS SHUKRI

Bagi Muhammad Naim Hasimirus, 30, ketiadaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) menyebabkan tiada pihak dapat mengurus ruang sampah itu dengan baik.

Ia memaksa dia selaku Ketua Blok 4 Flat Jubli Perak memohon kerjasama pemilik setiap kediaman membayar RM20 sebulan sebagai yuran penyelenggaraan bangunan termasuk bayar bil utiliti lampu tangga, baiki kerosakan dan membeli tong sampah,

"Kutipan sampah dibuat oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) namun tong sampah yang ada tidak kuat mana, jadi apabila kerap ditarik keluar, lama kelamaan ia bocor dengan air sampah meleleh keluar.

"Sudahnya berbau busuk dan kalau nak harapkan pekerja pembersihan saja tak boleh juga...tapi nak upah tukang cuci perlu bayar, kosnya tinggi dan yuran RM20 tidak cukup tampung," katanya.

Disebabkan itu dia berpandangan wajar ruangan itu ditutup dan digantikan dengan rumah sampah untuk menjamin kebersihan keseluruhan blok dan tidak mengundang masalah lain termasuk ancaman kesihatan.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Flat Jubli Perak, Ab Karim Abu Samah, 67, mengakui menerima banyak rungutan daripada penduduk, khususnya di aras bawah berkenaan isu itu.

Katanya, hampir kesemua 13 blok di pangsapuri itu menghadapi masalah sama, namun dia kecewa apabila ada pihak yang enggan beri kerjasama dalam membersihkan kawasan.

"Ada yang buang sampah berat (besar) menerusi pengelongsor hingga tong sampah pun pecah. Ini membabitkan sikap penduduk...semua kena ada rasa tanggungjawab dan kerjasama untuk indahkan flat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 7:05 AM