Sebahagian ahli BSKN sedang memungut sampai di kawasan Pantai Batu Buruk. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Sebahagian ahli BSKN sedang memungut sampai di kawasan Pantai Batu Buruk. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA ingin melihat pantai di negeri ini sentiasa bersih, jadi saya tidak kisah jika terpaksa memungut sampah setiap hari,” kata Muhammad Amri Azmi, 26, seorang daripada 20 peserta Program Cintai Alam Kita di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Amri berkata, dia dan rakannya daripada Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) Terengganu rasa bertanggungjawab membersihkan sampah sarap yang dibuang oleh pengunjung di kawasan pantai.

“Sedih melihat sikap segelintir pengunjung yang tidak mempunyai kesedaran menjaga kebersihan pantai.

“Pihak bertanggungjawab sudah menempatkan tong sampah, namun mereka masih berdegil serta tidak mahu memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk menjaga kebersihan sekitar pantai.

“Justeru, menyedari masalah itu kami sepakat menganjurkan program ini untuk memastikan kebersihan Pantai Batu Buruk itu terjaga,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi BSKN Terengganu. Rakannya, Malek Safrizan Umar, 26, berkata, program yang dianjurkan itu memberi kesedaran kepada pengunjung dan pada masa sama memastikan kebersihan pantai terus terjaga.

“Sebagai penduduk, kami ingin melihat kebersihan pantai sentiasa terjaga sekali gus mengekalkan keindahannya. Sepatutnya semua pihak mengambil inisiatif yang sama untuk melindungi pantai daripada tercemar.

“Segelintir pengunjung memang tidak mempunyai disiplin sehingga ada sampah yang dibuang itu dihurung lalat,” katanya.

Menurutnya, dia seronok mengutip sampah bersama rakan dan memperoleh kepuasan apabila melihat pantai bersih.

“Kami harap usaha kami memungut sampah sambil memegang plastik hitam itu memberi kesedaran kepada pengunjung supaya tidak membuang sampah di merata tempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 3:25 PM