FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerja kecemasan pembaikan paip utama yang pecah di Jalan Bukit Cherakah, Bandar Puncak Alam, di sini sehingga mengakibatkan 99 kawasan di tiga daerah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, selesai dilaksanakan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, kerja pembaikan siap pada 3 pagi ini.

Katanya, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya mengikut dua kumpulan," katanya, hari ini.

Air Selangor berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi talian 15300.

"Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor," katanya.

Terdahulu, media melaporkan daerah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia susulan kerja pembaikan kecemasan membabitkan paip saluran utama berukuran 2,200 milimeter dan membabitkan kawasan agihan berskala besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 8:32 AM