Foto hiasan
Foto hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Insiden paip pecah berlaku di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 di Shah Alam menyebabkan bekalan air di enam kawasan bekalan air dihentikan sementara bermula 10 malam ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, penutupan bekalan air itu dibuat bagi memastikan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

"Penutupan bekalan air ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di enam kawasan di Shah Alam.

"Senarai kawasan yang terbabit adalah Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada 6 pagi esok.

Katanya, bekalan air akan disalurkan selepas kerja pembaikan siap dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari esok.

"Air Selangor ingin menasihatkan para pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan digunakan secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

"Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki ini," katanya.

Tambahnya, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Elina berkata, sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 8:44 PM