Ali Iqbal


Pagoh: Tindakan seorang pemimpin Umno meminta ahlinya menyokong calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan sebagai 'luar biasa' serta bertentangan dengan prinsip perjuangan parti itu sendiri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, gesaan itu agak janggal namun menyerahkan kepada ahli parti itu sama ada menyahut seruan itu atau sebaliknya.

"Ini satu perkara yang agak luar biasa kerana kita tahu siapakah DAP sebenarnya. Selama hampir 40 tahun saya berada dalam Umno, ini kali pertama kali saya dengar pemimpin mereka suruh sokong DAP.

"Ini mungkin disebabkan kajian dijalankan oleh kami pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mendapati, isu peralihan sokongan kepada Umno... kepada DAP tidak berlaku.

"Yang berlaku ialah mereka (pengundi) menyokong Perikatan Nasional, kerana perjuangan Umno bukan lagi seperti asal," katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, di sini.

Ditanya sama ada gesaan mengundi calon DAP disebabkan Umno terdesak, Muhyiddin berkata, mereka tahu tindakan diambil pemimpin Umno khususnya presiden malahan Ahli Majlis Kerja Tertinggi pada ketika ini, membuatkan parti itu sudah sampai penghujung hayat.

"Mereka (pemimpin Umno) membuat kenyataan bercanggah dengan dasar dan perjuangan Umno. PRN akan datang akan membuktikan bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak lagi menyokong perjuangan Umno.

"Saya tahu kerana pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan semua yang berlaku hari ini bercanggah, bertentangan dan tidak sehaluan dengan matlamat perjuangan asal.

"Carilah mana-mana yang boleh berbaki sokongan itu, menyokong Umno, tapi saya jangka sebahagian besar orang Melayu yang waras dan mendokong perjuangan Umno, tidak akan mengikut seruan pemimpin mereka kerana bercanggah dengan dasar dan amalan parti itu," katanya.

Semalam, Ahlli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta ahli parti itu memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, apabila ahli Umno sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:07 PM