JABATAN Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
JABATAN Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
BERNAMA

Putrajaya: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) memohon untuk mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak penggunaan kalimah "Allah" oleh wanita beragama Kristian dari Sarawak bagi tujuan pendidikan agamanya.

Peguam Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill ketika dihubungi memberitahu MAIWP dan MAIJ memfailkan permohonan itu.

Pengurusan kes rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan itu diadakan secara dalam talian hari ini.

Xavier berkata mahkamah menetapkan 12 Julai untuk pengurusan kes berikutnya bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara memfailkan rekod rayuan dan juga bagi pihak berkenaan memfailkan afidavit masing-masing bagi permohonan pencelah.

Peguam MAIWP Fakhrul Azwan Abu Hasan, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memfailkan permohonan berkenaan.

Permohonan MAIWP ini usaha keduanya untuk mencelah dalam kes Jill Ireland. Sebelum ini, MAIWP memfailkan permohonan mencelah di Mahkamah Tinggi tetapi hanya dibenarkan bertindak sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) untuk membantu mahkamah.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah "Allah" dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland dan tiga perintah termasuk perisytiharan bahawa wanita suku kaum Melanau itu mempunyai hak perlembagaan di bawah Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan untuk mengimport penerbitan semasa menjalankannya hak untuk mengamalkan agamanya dan hak untuk mendapat pendidikan.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah and solat oleh bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berpelembagaan.

KDN dan kerajaan memfailkan rayuan pada 15 Mac terhadap keputusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:45 PM