DR Chamil Wariya (empat dari kiri) pada penyerahan replika cek sumbangan oleh wakil Penyumbang MWM 2023. FOTO Genes Gulitah
DR Chamil Wariya (empat dari kiri) pada penyerahan replika cek sumbangan oleh wakil Penyumbang MWM 2023. FOTO Genes Gulitah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak 45 organisasi terdiri daripada syarikat korporat, agensi kerajaan dan media memberikan sumbangan berjumlah RM775,000 bagi menjayakan penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023, 9 Jun ini.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, jumlah itu termasuk sumbangan RM300,000 yang diterima dari Petronas selaku penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2022 (HKM 2022).

"Sumbangan-sumbangan yang MPI terima itu ada yang dalam bentuk pembelian meja bernilai RM40,000, RM20,000, RM10,000 dan RM7,500 serta bukan pembelian meja dalam bentuk sumbangan kewangan.

"Antara yang menghulurkan sumbangan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kerajaan Negeri Sabah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan New Sarawak Tribune.

"Selain itu, lima organisasi media tampil menjadi penaja menjadikan bilangan penaja keseluruhannya sebanyak 45," katanya ketika berucap pada majlis meraikan penaja dan penyumbang MWM 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima 386 penyertaan bagi HKM 2022 berbanding 353 penyertaan untuk HKM 2021.

Katanya, sebanyak 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiah-hadiah utama HKM 2022 iaitu Hadiah Kajai dengan nilai wang hadiah berjumlah RM30,000 serta hadiah emas RM10,000 bagi 15 kategori.

Chamil berkata, turut ditawarkan hadiah perak bernilai RM1,500 dan hadiah gangsa RM1,000.

Pengerusi MWM 2023 itu juga berkata, The New Straits Times Press (NSTP) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan dua pertubuhan berita yang agresif menghantar penyertaan mereka.

"61 penyertaan dari NSTP, manakala Bernama dengan 58 penyertaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:48 PM