GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pengarah sebuah syarikat kerana disyaki terbabit rasuah berkaitan satu kontrak promosi pengiklanan kelolaan sebuah agensi kerajaan bernilai lebih RM90 juta pada 2019.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia 31 hingga 48 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM, petang semalam.

"SPRM juga sudah mengenal pasti pegawai agensi terbabit dan dijangka membuat beberapa tangkapan individu yang bersekongkol dengan ketiga-tiga pengarah syarikat ini," kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

Menurut sumber itu, siasatan mendapati syarikat itu mengemukakan dokumen dan maklumat palsu untuk menyertai tender sebelum ditawarkan kontrak.

Syarikat juga dipercayai tidak mempunyai kelayakan serta gagal melepasi penilaian teknikal dan kewangan.

"Bagaimanapun, disebabkan bayaran suapan rasuah kepada 'orang dalam' maka semua syarat asas diketepikan bagi membolehkan kontrak itu diberikan kepada syarikat terbabit.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," menurut sumber itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, SPRM akan memohon perintah reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 12:27 PM