TUJUH suspek ditahan babitkan sindiket kontena terbang.
TUJUH suspek ditahan babitkan sindiket kontena terbang.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Seramai tujuh individu termasuk tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion kepada negara sejak 10 tahun lalu.

Melalui operasi Ops Transit itu, SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang, Selangor itu.

Menurut sumber, suspek membabitkan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan petang semalam di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang.

Sumber berkata, susulan penahanan itu, kesemua suspek membabitkan tiga pegawai agensi penguat kuasa, seorang pengarah syarikat dan tiga pekerja syarikat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Perintah reman selama tiga hari terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin.

"Sindiket ini dipercayai membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

"Dalang sindiket ini ialah seorang warga Singapura dan kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga. Hasil tangkapan itu, SPRM membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit," katanya.

Menurutnya, hasil operasi dijalankan SPRM dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) pada Rabu lalu itu, berjaya menahan 19 kontena mengandungi pelbagai barangan import lari cukai.

"Daripada pemeriksaan yang dibuat, sebanyak lima kontena sudah dibuka dan didapati mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses.

"Kesemua kontena itu diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda (wheel chair), tekstil dan jamban duduk (commodes) bagi mengelakkan dikenakan cukai," katanya.

Menurutnya, anggaran kasar nilai 19 kontena yang ditahan termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta.

AHMAD Khusairi.
AHMAD Khusairi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Kata beliau, SPRM juga akan menyiasat kes ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Beliau menjelaskan hasil perbincangan dengan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin sebelum ini, kes-kes membabitkan pengisytiharan palsu dan lain-lain kesalahan sebagaimana tertakluk di bawah Akta Kastam 1967 akan dikendalikan oleh pihak JKDM manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti seluruh aspek pembayaran cukai syarikat dan individu yang terlibat.

Kelmarin Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan dua individu direman selama empat hari kerana terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 3:56 PM