Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam insiden kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan di sini, awal pagi tadi. FOTO JBPM JOHOR
Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam insiden kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan di sini, awal pagi tadi. FOTO JBPM JOHOR
Oleh Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Dua penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura maut dirempuh lori yang mengalami masalah brek di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan di sini, pagi tadi.

Selain dua motosikal itu, lori yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu turut merempuh sebuah treler dan bas yang membawa 29 penumpang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian kira-kira 5.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori berkenaan hilang kawalan lalu bergesel dengan empat kenderaan lain yang berada di lorong kiri dekat plaza tol berkenaan.

"Ketika kejadian semua kenderaan itu sedang menghala ke Singapura dan kedua-dua penunggang motosikal parah di kepala dan badan akibat diseret lori sebelum disahkan meninggal dunia.

"Pemandu treler dan bas tidak cedera, pemandu lori pula mengadu sakit di bahagian dada. Manakala 29 penumpang bas tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rahmat berkata, mangsa yang maut masing-masing lelaki warga tempatan berusia 49 dan 54 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

"Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori masih belum ditahan memandangkan dia dibawa ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya itu pada jam 6.04 pagi.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapat seorang penunggang motosikal terperangkap di bawah lori yang membawa muatan Compound PVC.

"Tindakan operasi menggunakan peralatan 'air lifting bag' untuk mengangkat lori, namun tidak berjaya. PKO bertindak meminta bantuan sebuah kren yang melalui lokasi berkenaan bagi mengangkat lori terbabit sebelum mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia.

"Seorang lagi penunggang motosikal turut meninggal dunia dan mayat kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya yang kemudian menamatkan operasi pada jam 7.22 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 3:34 PM