Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengambil tindakan ke atas kilang pemprosesan kertas di Pulau Indah susulan kematian pekerja warga Pakistan.

Pekerja berusia 20 tahun itu meninggal dunia akibat dihempap forklift ketika bekerja kira-kira 2 pagi Rabu.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, JKKP Selangor berkata, Notis Pembaikan dikeluarkan selepas siasatan mendapati berlaku kemalangan ketika mangsa memandu forklift secara mengundur dengan fork dinaikkan pada paras tinggi.

"Mangsa dikatakan membuat pusingan U mengejut yang menyebabkan jentera itu terbalik dan menghempap badannya dan maut di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu dan pihak bertanggungjawab ke atas kemalangan," kata kenyataan itu.

JKKP berkata, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terbukti ada pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, malah pihaknya memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:35 AM