ANTARA kediaman penduduk di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat ribut. FOTO Arkib NSTP
ANTARA kediaman penduduk di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat ribut. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Penduduk bagi 176 kediaman di Kampung Melayu Majidee di sini, yang terjejas akibat kejadian ribut petang semalam akan mendapat bantuan RM3,000.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan segera bagi setiap isi rumah terjejas bagi meringankan beban ditanggung mereka.

"Saya berkesempatan turun ke kawasan berkenaan bagi menziarah dan mendengar rintihan mangsa yang terbabit serta melihat tahap kerosakan.

"Bantuan dihulurkan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (RM1,000), Yayasan Bandaraya Johor Bahru (RM1,000) dan Pejabat Menteri Besar Johor (RM1,000)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pagi tadi, beliau sempat meluangkan masa melawat dan meninjau beberapa kediaman penduduk yang terjejas akibat ribut sehingga menerbangkan atap dan ada kediaman yang dihempap pokok tumbang.

Sementara itu, Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar berkata, peruntukan itu bertujuan untuk menyelesaikan keperluan jangka pendek penduduk yang terjejas.

"Data penerima yang layak akan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum peruntukan boleh disalurkan.

"Kita berharap peruntukan ini dapat diagih segera, selewat-lewatnya minggu depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 6:22 PM