Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Pemilik 176 kediaman di Kampung Melayu Majidee di sini, yang terjejas dan rosak akibat dibadai ribut semalam, akan menerima pampasan akibat kerugian dialami.

Pegawai Daerah Johor Bahru Muzaldin Mohamed bagaimanapun berkata, jumlah pampasan adalah berlainan dan ia akan diberi berdasarkan penilaian tahap kerosakan.

Katanya, pemberian pampasan akan disalurkan secepat mungkin.

"Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kerja-kerja baik pulih disegerakan. Satu sesi pertemuan bersama mangsa akan diadakan untuk memberi penerangan berkaitan perkara ini.

"Penilaian kediaman yang rosak akan diselesaikan hari ini. Beberapa agensi terbabit dalam menyalurkan bantuan termasuk Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Menteri Besar," katanya.

Pagi tadi, Onn Hafiz meninjau beberapa kediaman yang musnah akibat kejadian ribut yang melanda kawasan itu, petang semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar.

Sementara itu, mangsa ribut, Liza Wati A Gani, 36, berharap kerajaan dapat membantu membaik pulih rumah pusaka keluarganya yang sudah berusia lebih 40 tahun.

"Pada kejadian ribut semalam, semua bumbung rumah, kecuali bilik air, diterbangkan ribut. Ia memerlukan kos tinggi untuk baik pulih.

"Saya dan kakak sulung tiada wang yang banyak. Kami memang berharap kerajaan dapat membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 1:47 PM
Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan) ketika melawat rumah yang terjejas akibat ribut di Kampung Melayu Majidee, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan) ketika melawat rumah yang terjejas akibat ribut di Kampung Melayu Majidee, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN