JAFNI (dua, kiri) bersama Mohd Noorazam (kiri) dan Chin Tong (dua kanan) melihat kedai kereta terpakai yang mengalami kerosakan akibat ribut. FOTO Bernama
JAFNI (dua, kiri) bersama Mohd Noorazam (kiri) dan Chin Tong (dua kanan) melihat kedai kereta terpakai yang mengalami kerosakan akibat ribut. FOTO Bernama
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan Johor bersedia membantu penduduk di bandar raya ini dan Iskandar Puteri yang terjejas akibat ribut petang tadi, menerusi tabung bencana negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, bantuan itu akan kejadian itu menyebabkan 20 rumah di Kampung Pasir, 21 rumah di Taman Tun Aminah dan 19 kediaman Flat Pekaka di Perling rosak akibat ribut.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berikutan kejadian pada 3.30 petang itu dan menjelaskan, Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sudah membantu membersihkan rumah penduduk.

"Ia menyebabkan kediaman penduduk terbabit mengalami kerosakan pada bahagian bumbung. Di Batu 3, Kampung Pasir di sini pun ada sebuah pusat jualan kereta, bumbung terbuka habis, itu kita perlu lihat kelulusan permit sementara.

"Kalau ada permit sementara insurans boleh lindungi kerosakan itu, tetapi jika tiada kita (kerajaan negeri) akan lihat apa yang boleh dibantu," katanya selepas melawat rumah penduduk terjejas di Kampung Pasir, di sini, malam ini.

Turut hadir Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong.

Beliau mengingatkan penduduk yang terjejas supaya membuat laporan polis dan menyenaraikan segala kerosakan yang dialami sebelum merujuk kepada ketua kampung serta ketua penghulu bagi tindakan lanjut.

"Ketua Kampung dan Ketua Penghulu adalah mediator dengan Pegawai Daerah dan mereka akan adakan mesyuarat di peringkat bencana daerah untuk melihat kos yang terbabit," katanya.

Ribut yang berlaku petang tadi menyebabkan sejumlah rumah, kedai serta harta benda seperti kereta dilaporkan rosak teruk susulan ribut dan hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 11:35 PM