Omar Ahmad


Johor Bahru: "Saya tiada duit simpanan untuk pasang bumbung baharu selepas kejadian ribut minggu lalu, saya memang menunggu duit bantuan (kerajaan negeri)," luah Fatimah Mohd Shah, 43.

Fatimah antara penduduk Kampung Melayu Majidee, di sini, yang terjejas akibat ribut yang melanda perkampungan itu pada 3 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, sebanyak 176 kediaman penduduk rosak, selain warung, kedai makan akibat pokok tumbang dan atap yang diterbangkan angin.

Fatimah yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan berkata, rumah pusaka yang didiami bersama sepupunya, Liza Wati A Ghani, 36, di Jalan Setia kampung itu rosak teruk apabila hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin ketika kejadian.

"Seratus peratus bumbung rumah ini diterbangkan ribut kecuali bumbung tandas sahaja yang ada.

"Kalau ikutkan memang nak pasang dulu bumbung dan baiki sistem pendawaian elektrik, tetapi kami tiada duit hendak didahulukan (sebelum bantuan wang disalurkan)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sepupunya, Liza yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, dia berharap bantuan kewangan yang dijanjikan kerajaan negeri dapat disegerakan, terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.

FATIMAH melihat bumbung kediamannya yang belum dibaiki akibat kekangan kewangan. FOTO Omar Ahmad
FATIMAH melihat bumbung kediamannya yang belum dibaiki akibat kekangan kewangan. FOTO Omar Ahmad

Bagi warga emas, Lijah Kassim, 73, bumbung rumah pada bahagian dapur kediamannya sudah dibaiki dengan kos RM4,000 hasil bantuan anak-anaknya.

"Sehari selepas kejadian ribut, anak terus upah orang pasang bumbung. Alhamdulillah sekarang ini tunggu bantuan (kerajaan negeri) sahaja," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Yahya Jaafar memaklumkan, bantuan yang dijanjikan akan diserahkan dalam satu majlis petang esok.

"Bantuan akan disampaikan Yayasan MBJB, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Pejabat Menteri Besar Johor kepada ketua keluarga mangsa ribut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:18 PM