Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Aidilfitri ini memberi seribu rahmat buat banduan akhir, Nasir, 40, (bukan nama sebenar) yang dapat mencium tangan ibunya selepas 13 tahun menjalani hukuman di Penjara Reman Pulau Pinang di sini, atas kesalahan berkaitan dadah.

Peluang itu dirasai Nasir ketika menerima kunjungan ibu dan dua anaknya berusia 16 dan 13 tahun dalam Program Jalinan Kasih Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di penjara berkenaan.

Terdahulu, dengan keadaan tangan bergari, Nasir dilihat menggenggam erat bekas makanan berisi biskut bagi menggantikan kuih raya sambil menanti kunjungan keluarganya yang lewat tiba.

Suasana hiba sebaik ibunya berusia 70 tahun yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dibawa menaiki kerusi roda datang memeluk Nasir dengan linangan air mata.

Nasir berkata, sejak menjalani hukuman, dia mengekalkan kelakuan baik serta mendalami ilmu agama dengan menyertai pelbagai aktiviti kerohanian di penjara berkenaan.

"Berkat doa dan lawatan ibu juga saya terima satu lagi khabar gembira mengenai permohonan sabitan kes saya yang sudah diluluskan dan akan terus berdoa supaya diberi pengampunan sekali gus dapat dibebaskan.

"Jika diberi peluang bebas, saya mahu 'mengganti' semula masa dengan menjaga ibu dan berbakti selagi hayatnya.

"Saya paling rindukan masakan ibu iaitu nasi tomato yang sering menjadi hidangan utama ketika Aidilfitri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Lan, 40, yang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun atas kesalahan berkaitan dadah pula berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menghantar anak bongsunya melanjutkan pelajaran ke kolej, semalam, seperti lazim yang dilakukan ibu bapa lain.

Katanya, dia bersyukur kerana selepas menjalani hukuman sejak lebih empat tahun lalu, tiga anaknya berusia 21, 19 dan 16 tahun juga kerap datang melawat tanpa jemu.

"Selalu hanya dapat berbual menerusi telefon, tetapi hari ini berpeluang dapat bersalaman dan berpelukan bagi melepas rindu.

"Mereka anak yang kuat, selepas setahun saya dipenjarakan, isteri pula meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan mereka ditinggal bersama nenek.

"Melihat wajah dan pekerti mereka, hati meronta serta berazam mahu berubah dan berkelakuan baik supaya kami dapat bersama semula.

"Hukuman ini bukan pengakhiran malah menjadi hikmah apabila saya makin mendekatkan diri dengan Allah SWT dan menghafaz al-Quran pada masa terluang," katanya yang menerima lawatan adik serta dua anaknya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail berkata, pada program berkenaan, seramai 14 banduan yang dipilih berdasarkan kelakuan baik diberi peluang bertemu dengan keluarga masing-masing.

"Terdapat 1,400 individu yang menjalani hukuman di sini dan menjalani empat fasa pemulihan iaitu bina jati diri, kerohanian dan keagamaan, khidmat masyarakat dan menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 9:18 PM
NASIR mencium tangan ibunya pada Program Jalinan Kasih Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Reman Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
NASIR mencium tangan ibunya pada Program Jalinan Kasih Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Reman Pulau Pinang. FOTO Danial Saad