Sham (kiri) mencium tangan ibunya ketika bertemu di majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2017 Penjara Seremban. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Sham (kiri) mencium tangan ibunya ketika bertemu di majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2017 Penjara Seremban. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


"SUDAH lima tahun saya tidak dapat bersalaman dengan ibu menyebabkan saya tidak melepaskan peluang untuk mengusap tangannya sepuas hati apabila kami dapat bertemu," kata banduan Penjara Seremban yang mahu dikenali Sham.

Sham, 47, antara 20 penghuni yang diberi peluang mengubat kerinduan bertemu ahli keluarga pada majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2017 Penjara Seremban, Temiang, hari ini.

Menurutnya, ia kali pertama buat diri mendapat peluang untuk bertemu dengan keluarga sejak dimasukkan ke penjara pada 2012 lalu.

"Sejak menjalani hukuman di penjara, saya tidak lagi dapat bersalaman dan mencium tangan ibu. Saya amat merinduinya dan peluang bertemu ibu dimanfaatkan sepenuhnya kerana selepas ini saya hanya dapat bertemunya di sebalik cermin saja.

"Saya bersyukur masih dapat bertemu ibu. Terima kasih kepada pihak penjara kerana mengadakan program sebegini," katanya yang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan terbabit dalam aktiviti gengsterisme.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan Muhammad Nazri Nasrudin berkata, program itu membabitkan penghuni penjara yang mempunyai rekod tingkah laku baik sepanjang tempoh tahanan.

Katanya, ia dijalankan dua sesi iaitu pagi dan petang untuk meraikan penghuni penjara bersama keluarga mereka.

"Pada majlis ini, keluarga dapat bertemu (penghuni) dengan lebih dekat. Pada hari biasa ahli keluarga hanya boleh melawat penghuni tetapi pada waktu ditetapkan dan berinteraksi menerusi telefon," katanya.

Katanya, sokongan moral daripada keluarga dapat membantu semangat banduan untuk berubah kepada lebih baik apabila kembali ke pangkuan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 3:28 PM