GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail

Sepang: Gangguan bekalan gula paket satu kilogram (kg) di Kelantan dan Terengganu susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Namun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kedua-dua kilang berkenaan sudah beroperasi semula pada 25 April lalu.

"Gangguan bekalan gula hanya berlaku di Kelantan dan sedikit di Terengganu manakala di negeri lain isu ini tidak berlaku dan bekalan adalah mencukupi.

"Bekalan gula sudah diperoleh secara berperingkat melalui pemborong utama negeri terbabit.

"Hari ini KPDN Kelantan sudah mengambil langkah untuk mengedarkan 250,000 kg bekalan gula paket sekilogram yang ada dalam simpanan pemborong utama di Kelantan kepada pemborong dan peruncit yang terjejas," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat lapan pemborong utama gula di Kelantan yang mana mulai Sabtu lalu hingga semalam empat pemborong utama gula di Kelantan sudah menerima sebanyak 140.72 metrik tan gula dari MSM.

"Bekalan baharu yang diterima ini akan diagihkan kepada pemborong dan peruncit mulai esok dengan pemantauan oleh KPDN Kelantan.

"KPDN sudah bekerjasama rapat dengan dua pengilang utama negara iaitu MSM dan CSR bagi memastikan isu gangguan kepada bekalan ini diatasi dengan segera di negeri yang terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, beliau berharap penduduk di negeri terbabit juga tidak panik atau terpedaya dengan kemungkinan isu harga gula akan naik dimainkan pihak tertentu.

"KPDN akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan diatas situasi yang berlaku, begitu juga yang mungkin membuat provokasi kononnya harga gula akan dinaikkan.

"Setakat ini KPDN memberi jaminan setakat hari ini belum ada apa-apa keputusan kenaikan harga gula dan rakyat masih dapat membeli bekalan gula dengan harga yang yang ditetapkan.

"Kalau ada pihak yang menyorok atau melakukan sabotaj akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 10:55 AM