Azman Mohd Yusof meninjau barang kawalan selepas pelancaran SHMMP Hari Gawai 2023 di Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Azman Mohd Yusof meninjau barang kawalan selepas pelancaran SHMMP Hari Gawai 2023 di Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kekurangan bekalan gula yang disimpan di sesebuah premis dikenal pasti faktor beberapa pengusaha pasar raya dan kedai runcit di negeri ini mengehadkan jualan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Mohd Yusof berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan kekurangan bekalan gula di pasaran kerana pengeluar mematuhi arahan untuk membekalkan sejumlah 42,000 tan metrik gula putih setiap bulan.

Menurutnya, tidak timbul isu kekurangan bekalan walaupun ada aduan mendakwa jualan gula di beberapa tempat dihadkan.

"Keadaan ini (mengehadkan jualan) mungkin hanya tindakan sesetengah peniaga itu untuk mengawal bekalan gula di premis mereka berikutan stok yang disimpannya tidak banyak.

"Pada masa yang sama, permintaan gula meningkat disebabkan faktor perayaan, jadi peniaga itu sendiri mengambil inisiatif mengehadkan jualan bagi memastikan stok sedia ada mencukupi sementara menunggu bekalan baru tiba," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Farley Supermarket di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil dan Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin.

Azman diminta mengulas dakwaan terdapat pasar raya di Bintulu dan Mukah mengehadkan jualan gula sejak semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDN jika berlaku kekurangan bekalan gula kerana pihaknya yakin jumlah yang diedarkan oleh pengeluar setiap bulan mencukupi untuk keperluan seluruh negara.

"KPDN tidak pernah mengeluarkan arahan untuk mengawal jumlah gula kepada pembeli, ini adalah tindakan peniaga itu sendiri," katanya.

Mengenai SHMM Hari Gawai 2023 yang berkuat kuasa 29 Mei hingga 4 Jun ini, Azman berkata, sebanyak lapan jenis barangan dikawal mengikut pelaksanaan skim itu.

Barangan terbabit adalah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kobis bulat, ubi kentang, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

"Selain itu, enam jenis barangan kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah penentuan harga maksimun ayam dan telur ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 2:26 PM