Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memaklumkan hampir 250,000 kilogram (kg) bekalan gula akan diedarkan di pasaran negeri ini, hari ini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, ia susulan bekalan gula terputus sejak 1 Syawal lalu sehingga pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna.

"Saya pergi ke pemborong utama semalam dan kita mengarahkan hampir 250,000 kg gula diedarkan di lapan daerah di negeri ini mulai hari ini.

"Sebenarnya isu gula ini berlaku salah faham di antara pembekal dan pemborong. Ada pembekal tertumpu kepada pemborong tertentu dan hanya memohon bekalan kepada pemborong lain ketika bekalan berkurangan.

"Namun dengan pelepasan hampir 250,000 kg gula ini, kita jangka masalah bekalan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari," katanya ketika dihubungi.

Ditanya sama ada bekalan gula terputus ada kaitan dengan dakwaan akan berlaku kenaikan harga, Azman berkata, itu antara salah satu faktor.

"Di Kelantan kita tiada pengilang, kita hanya ada pemborong. Pengilang di Melaka dan Johor memohon untuk kenaikan harga, namun tidak diluluskan oleh kerajaan.

"Dengan adanya bekalan gula bermula hari ini, saya berharap penduduk di negeri ini tidak membuat pembelian panik bagi memastikan bekalan itu mencukupi untuk semua," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan bekalan gula di negeri ini terputus sejak 1 Syawal lalu sehingga menimbulkan keresahan di kalangan peniaga dan penduduk.

Tinjauan dilakukan di beberapa daerah mendapati bekalan gula kehabisan sama ada di kedai runcit dan pasar raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 3:35 PM