Dr Zainal Ariffin Omar
Dr Zainal Ariffin Omar
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Manfaat pengambilan vaksin Covid-19 lebih tinggi berbanding mudaratnya, kata Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada kajian atau laporan rasmi yang mengaitkan kematian dengan pengambilan vaksin Covid-19.

Katanya, meskipun terdapat kesan sampingan daripada pengambilan vaksin itu tetapi ia pada kadar yang rendah dan tidak membawa kematian.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan sesetengah kematian selepas pengambilan vaksin seperti yang dilaporkan berlaku di luar negara adalah berikutan faktor lain seperti penyakit kronik.

"Ada laporan yang mengaitkan kematian dengan vaksin tetapi biasanya disebabkan faktor risiko lain seperti penyakit kronik, jantung dan sebagainya.

"Kesan sampingan vaksin adalah ringan dan faedah pengambilannya melebihi daripada mudarat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan kumpulan anti vaksin bahawa terdapat beberapa kes kematian dilaporkan setiap hari membabitkan individu yang mengambil suntikan vaksinasi Covid-19 di negara ini.

Dr Zainal berkata, tiada sebarang laporan sahih termasuk daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kematian akibat vaksin seperti yang didakwa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat sebaliknya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa seperti KKM terlebih dahulu.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya mendapatkan vaksinasi Covid-19 dan suntikan penggalak seperti disarankan terutama bagi individu yang berisiko tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 4:25 PM