Samadi Ahmad


Sepang: Kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk Orang Asli menyebabkan ramai anggota masyarakat itu 'panik' dan setuju menerima suntikan vaksin.

Difahamkan kebanyakan mereka sebelum ini termakan hasutan melalui media sosial supaya tidak menerima suntikan vaksin yang kononnya akan mendatang banyak kemudaratan.

Penduduk di Kampung Orang Asli Bakok, Dengkil di sini, Lia Jasen, 60, berkata, dia sebelum ini menangguhkan pengambilan vaksin jangkitan covid-19 kerana sering mengalami gastrik.

Namun selepas tiga penduduk kampung ini meninggal dunia akibat covid-19, dia menjadi takut dan berusaha mendapatkan vaksin melalui program imunisasi diadakan secara bergerak di penempatannya itu.

"Sebelum ini masyarakat Orang Asli banyak dikelirukan melalui berita di media sosial yang tidak tepat berhubung pengambilan vaksin COVID-19.

"Namun selepas berlaku beberapa kematian membabitkan penduduk kampung, baharulah kami percaya vaksin ini sangat penting sebagai pelindung diri," katanya.

Lia berkata, pada masa sama, mereka yang sudah mendapatkan dos pertama vaksin masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Walaupun sudah mendapat suntikan dos pertama ini tidak bererti kita kebal kerana virus ini ada di mana-mana. Perlu jaga SOP untuk menghindari daripada dijangkiti," katanya.

Pekerja salon, Suraya Roslan, 21, dari Kampung Orang Asli Bukit Dugang, bersyukur kerana sudah melengkapkan suntikan dos kedua vaksin sebagai pelindung diri.

"Sebagai pekerja salon, suntikan vaksinasi itu penting berikutan saya sering berhadapan dengan ramai pelanggan setiap hari.

"Selepas ini saya tidak perlu risau kerana sudah lengkap disuntik dan perlu patuh pada SOP bagi mengelak jangkitan virus Covid-19," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang, Dr Mohd Akil Mohd Khailani, berkata, jumlah peratusan penduduk Orang Asli yang mengambil vaksin meningkat 62 peratus bermula Jun lalu sehingga hari ini.

Menurut beliau, baki 38 peratus lagi mungkin sudah mengambil vaksin di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) lain serta menghadapi masalah kesihatan dan belum bersedia mengambil vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:37 PM
Sebahagian Orang Asli yang tercicir pada program vaksinasi hadir menerima semula temu janji vaksin di Pusat Pemberian Vaksin bergerak anjuran PKD Sepang di Kampung Orang Asli Sungai Melut. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sebahagian Orang Asli yang tercicir pada program vaksinasi hadir menerima semula temu janji vaksin di Pusat Pemberian Vaksin bergerak anjuran PKD Sepang di Kampung Orang Asli Sungai Melut. FOTO HAZREEN MOHAMAD