FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Golongan warga emas disaran tidak khuatir dengan pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Kajian dilakukan membuktikan peratusan golongan berkenaan mendapat kesan sampingan adalah rendah berbanding individu lebih muda.

Perkara itu diutarakan tiga pakar perubatan yang bersetuju dengan tindakan kerajaan meletakkan warga emas dalam kumpulan fasa dua iaitu kelompok awal menerima suntikan vaksin selepas petugas barisan hadapan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Awam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, pemberian awal suntikan vaksin kepada warga emas adalah langkah tepat dalam melindungi golongan berkenaan.

Katanya, suntikan vaksin itu dapat mengelak warga emas mengalami komplikasi lebih teruk khususnya bagi yang menghidap penyakit kronik.

"Kesan sampingan suntikan Covid-19 adalah pada tahap ringan ke sederhana iaitu tidak sampai menjejaskan pergerakan.

"Lebih menarik lagi, kajian klinikal fasa ketiga mendapati kesan sampingan terhadap warga emas adalah kurang berbanding golongan muda.

"Jadi, saya syorkan warga emas mengambil vaksin demi keselamatan untuk tempoh jangka masa panjang dan yakin ia bukan hanya baik untuk diri sendiri tetapi seisi keluarga mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pakar Perubatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Dr Sakinah Sulong berkata, perlindungan dengan suntikan vaksin penting kerana warga emas adalah golongan berisiko dijangkiti Covid-19 dan hingga kini 70 peratus kematian akibat Covid berlaku dalam kalangan individu berumur lebih 60 tahun ke atas.

"Manfaat suntikan vaksin itu amat besar. Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menunjukkan bagi individu berusia 50 hingga 64 tahun, 25 peratus akan mengalami kesan sampingan manakala bagi warga emas berusia 65 hingga 74 tahun pula hanyalah empat peratus.

"Maka, semakin berusia lebih rendah risiko berlakunya kesan sampingan (akibat suntikan vaksin)," katanya.

Turut menyokong pemberian suntikan vaksin awal kepada warga emas adalah Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Persatuan Pembanteras Mitos Perubatan Malaysia (Medical Mythbusters Malaysia) Dr Amirul Amzar.

Menurutnya, saranan itu berpandukan kepada kajian sedia ada yang menunjukkan manfaat vaksin melebihi kesan sampingannya.

"Ada kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin sebagai tindak balas dalam menghasilkan antibodi tetapi ia bersifat sementara, tiada kecacatan kekal atau menyebabkan kematian.

"Kebanyakan kesan sampingan itu adalah ringan seperti merah, bengkak dan sakit pada tempat suntikan. Ia sama (kesannya) jika menerima suntikan vaksin lain.

"Namun, banyak salah faham gara-gara tindakan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi fakta sedangkan tiada kes kematian direkodkan selepas 200 juta individu menerima suntikan di seluruh dunia," katanya

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 2:10 PM