GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 67 kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dilaporkan sepanjang Januari tahun ini sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya enam kematian dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan pada tahun lalu.

Menurutnya, statistik juga menunjukkan trend peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia hingga 18 tahun di Malaysia yang agak membimbangkan.

Berikutan itu, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pemberian vaksin kepada kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

"Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberikan kelulusan bersyarat kepada semua remaja mencapai usia 12 tahun ke atas untuk divaksinasi.

"KKM mensasarkan 60 peratus daripada golongan terbabit mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November depan dan 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, program 'Kick-Off' PICK Remaja dimulakan hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mendaftar anak mereka yang layak menerusi institusi pendidikan masing-masing dan aplikasi MySejahtera dengan kadar segera.

Beliau berkata, institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk remaja berada di institusi berkenaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) manakala remaja di luar institusi, pendaftaran melalui MySejahtera diperlukan.

Katanya, vaksin Covid-19 seperti ubatan lain mempunyai kesan sampingan yang pada kebiasaannya ringan dan pulih dalam masa singkat.

"Antara perlu diambil perhatian selepas mendapat suntikan vaksin ialah kemungkinan sakit atau bengkak di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit otot, menggigil dan demam.

"Radang jantung (myocarditis) dan radang selaput jantung (pericarditis) adalah kesan yang sangat jarang berlaku yang mana kebiasaannya berlaku selepas menerima dos kedua atau beberapa hari selepas divaksinasi, lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki.

"Bagaimanapun, risiko myocarditis dan pericarditis ini adalah lebih rendah berbanding risiko untuk berlaku radang jantung yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19 iaitu 37 kali ganda lebih tinggi," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu mengawasi gejala awal seperti sakit dada, sukar bernafas dan jantung berdegup laju selepas anak menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan, selain mengawasi anak supaya tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi.

Beliau meminta ibu bapa dan penjaga yang mempunyai pertanyaan mengenai program vaksin Covid-19 mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan kanak-kanak atau pegawai perubatan bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 8:06 PM