Kes penipuan membabitkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan dilihat semakin membimbangkan.
Kes penipuan membabitkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan dilihat semakin membimbangkan.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kes penipuan membabitkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan dilihat semakin membimbangkan apabila beberapa premis perubatan swasta dikesan melakukan jenayah itu.

Peningkatan kes dilaporkan berlaku di lima negeri iaitu Terengganu, Selangor, Kelantan, Johor dan Kedah susulan pemantauan serta risikan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kelmarin, polis Johor menahan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli selepas disyaki terbabit dalam kegiatan sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Selain itu, kerajaan negeri Kedah turut mengesan terdapat beberapa kes penjualan sijil vaksinasi palsu membabitkan doktor di negeri berkenaan.

Difahamkan, jenayah sedemikian berlaku disebabkan oleh kumpulan antivaksin yang terdesak dan kumpulan individu yang menolak dos penggalak.

Malah, segelintir pengamal perubatan pula dikatakan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim mendedahkan masih banyak kes penjualan sijil vaksinasi palsu berlaku di seluruh negara.

Menurutnya, keadaan itu berlaku disebabkan kecelaruan maklumat berkaitan vaksin Covid-19 selain pengaruh kumpulan antivaksin menyebabkan berlakunya kes penipuan sijil vaksinasi.

"Mereka percaya dengan maklumat tidak tepat dari luar negara kononnya vaksin itu mempunyai kesan mudarat sehingga membawa kepada kematian. Maklumat itu tular dan masyarakat mula curiga.

"Mereka kemudian memilih untuk tidak divaksin tetapi membataskan pergerakan.

"Oleh itu, mereka sanggup melakukan apa saja termasuk mendapatkan sijil palsu supaya boleh bergerak bebas seperti individu lengkap vaksinasi," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Shahul berkata, perbuatan segelintir pengamal perubatan yang melakukan jenayah itu bukan saja memalukan profesion mereka, malah merosakkan imej negara.

"Saya sarankan pengamal perubatan terbabit dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan lesen mereka supaya memberi pengajaran kepada orang lain dan pembeli juga perlu dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Kamarul Zaman Mamat menunjukkan gambar suspek yang telah ditangkap berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kamarul Zaman Mamat menunjukkan gambar suspek yang telah ditangkap berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

22 pembeli sijil vaksin palsu diburu

Johor Bahru: Polis Johor membongkar sindiket penjualan sijil digital vaksin palsu di bandar raya ini dengan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan pada Isnin dan kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan dibuat hasil laporan polis yang dibuat pemilik sebuah klinik swasta di sini, pada jam 10.53 malam Ahad lalu.

Katanya, pemilik klinik swasta berkenaan terkesan dan tidak bersetuju dengan aktiviti penjualan sijil digital vaksin tanpa suntikan oleh pekerja kliniknya yang dipercayai dilakukan sejak sebulan lalu.

"Bertindak atas maklumat pengadu, polis menahan lapan suspek di sekitar bandar raya ini membabitkan tiga pekerja klinik itu dan lima pembeli sijil digital vaksin yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 berusia 24 hingga 42 tahun.

"Turut dirampas lapan telefon bimbit yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan selain peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

"Kesemua rampasan akan dianalisa bagi mengenal pasti individu yang didaftarkan menerima sijil vaksin palsu di dalam MySejahtera tanpa menerima suntikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menerima laporan dari empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan berhubung klinik swasta menjual sijil vaksinasi palsu setakat ini.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, kegiatan berkenaan di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal, selain dipantau pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, menerusi siasatan awal yang dilakukan, polis Johor kini sedang mengesan 22 lagi pembeli sijil vaksinasi palsu yang semua maklumat mereka sudah diperolehi.

Katanya, kesemua 22 pembeli sijil vaksinasi palsu itu diminta menyerah diri segera sebelum polis membuat penahanan terhadap mereka.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu seorang lagi lelaki berusia 44 tahun iaitu dalang utama kepada sindiket berkenaan.

"Menerusi siasatan dilakukan, kakitangan klinik itu menerima bayaran antara RM300 hingga RM650 bagi setiap sijil digital vaksin palsu yang didaftarkan ke MySejahtera tanpa menerima sebarang suntikan vaksin," katanya.

'Kes di Kedah tidak terlalu banyak'

Alor Setar: Kerajaan negeri mengesan terdapat beberapa kes penjualan sijil vaksinasi palsu membabitkan doktor di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kes itu kini sedang dalam siasatan polis dan beliau tidak dapat mendedahkan sama ada ia membabitkan doktor di pusat kesihatan swasta atau kerajaan.

"Kes ini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, jumlah sijil vaksinasi palsu yang sudah dijual pun kita tak boleh dedahkan tapi ia tidaklah terlalu banyak.

"Kita juga masih siasat sama ada kes ini ada kaitan dengan kes pembelian sijil vaksinasi palsu di Terengganu...Mungkin ada kaitan, kita akan siasat," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Sebelum ini, polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, dekat sini, 8 Januari lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan terbabit.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Hayati memaklumkan Maktab Mahmud Tobiar, Pendang, di sini, ditutup selama tujuh hari selepas 99 pelajar asrama disahkan positif Covid-19.

Katanya, dua pelajar maktab itu kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala selebihnya dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra.

"Setakat ini, jangkitan hanya membabitkan pelajar dan tidak membabitkan guru namun berkemungkinan kes akan bertambah sekiranya keputusan ujian saringan diperoleh nanti.

"Terdapat juga pelajar yang sedang kuarantin di asrama puteri manakala pelajar lain yang negatif dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat tiga kes kluster baharu dikesan di Kedah membabitkan tiga sekolah asrama di daerah Pendang, Kuala Muda dan Kubang Pasu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar di tiga sekolah berkenaan didapati masih dalam keadaan terkawal.

Kelmarin, seramai 99 pelajar asrama Maktab Mahmud, Tobiar Pendang dan 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, Sungai Petani dilaporkan positif Covid-19.

Negeri Sembilan belum ada kes lagi

Seremban: Tiada kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Negeri Sembilan setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan itu dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri itu termasuk doktor, yang ikhlas serta amanah.

"Saya tak mahu ada orang Negeri Sembilan terbabit dalam kegiatan ini (palsukan sijil vaksinasi). Kita seharusnya tidak berkompromi dalam hal ini.

"Jangan pula kita bersubahat dengan mereka yang tidak mahu menerima suntikan vaksin dan kemudian mengeluarkan sijil. Individu yang tak mahu vaksin tak perlu bagi sijil.

"Etika sebagai doktor perlu dijaga dan semua rakyat Malaysia harus patuh kepada undang-undang. Tahniah kepada orang Negeri Sembilan kerana tiada kes palsukan sijil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Setakat ini, dilaporkan polis sudah menerima laporan kes pusat perubatan menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 12:00 PM