Mohd Iskandar Ibrahim dan Latifah Arifin

Putrajaya: Kerajaan memberi jaminan akan melakukan penilaian semula berhubung isu gaji penjawat awam terutama di peringkat rendah yang tidak memuaskan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, komitmen itu diberikan walaupun kerajaan Madani mengambil alih negara dalam keadaan kewangan semasa yang amat parah.

"Sudah sampai masa kita lakukan penilaian dan kajian semula. Ini jaminan saya, kita bagi komitmen ambil alih dalam keadaan kewangan yang sangat parah, hutang (negara) berjumlah RM1.5 trilion," katanya ketika menyampaikan amanat bersempena Sambutan Hari Pekerja 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Anwar turut meminta penjawat awam memberikan sedikit masa bagi menyelesaikan isu upah penjawat awam.

"Bagi saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang pertama (akan dilaksanakan) adalah upah penjawat awam. Selain itu, segala bonus atau apa saja kemudahan, termasuk kesihatan, yang harus dibantu, kita akan segerakan," katanya.

ANWAR pada Sambutan Hari Pekerja 2023. Turut hadir Ahmad Zahid dan Sivakumar. FOTO Bernama.
ANWAR pada Sambutan Hari Pekerja 2023. Turut hadir Ahmad Zahid dan Sivakumar. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 12:22 PM