HIDANGAN pan mi disertakan dengan cendawan dan ikan bilis.
HIDANGAN pan mi disertakan dengan cendawan dan ikan bilis.
WHITE Curry makaroni mempunyai kelainan tersendiri.
WHITE Curry makaroni mempunyai kelainan tersendiri.
MI kari yang cukup menyelerakan.
MI kari yang cukup menyelerakan.
Oleh Suliati Asri

Keunikan hidangan serta rasanya sukar digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi menikmatinya ketika masih panas.

Menghirup kuahnya daripada puluhan bahan dan ditambah resipi tersendiri pasti membuatkan penggemar mi kari pulang dengan senyuman.

Mi kari yang penulis maksudkan ini bukanlah menu biasa tetapi ia mi kari putih atau 'white curry' yang jarang dijumpai di mana-mana restoran.

Bagi penduduk luar pulau Mutiara, hidangan ini adalah sesuatu yang cukup berlainan daripada biasa tetapi ia adalah hidangan cukup popular dalam kalangan masyarakat Cina tempatan.

Justeru, selain daripada keunikan rasanya, OLDTOWN White Coffee kini memperkenalkan rangkaian hidangan White Curry Series yang cukup menyelerakan.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan OLDTOWN White Coffee, Dawn Liew berkata, ramai dalam kalangan masyarakat negara ini yang tahu hidangan white curry.

Ini kerana hidangan menu itu popular dalam kalangan masyarakat Cina di Pulau Pinang.

"White curry memang popular di Pulau Pinang tetapi hanya dinikmati masyarakat bukan Muslim kerana tidak halal.

"Justeru, bagi memperkenalkan hidangan istimewa ini kepada semua, kami OLDTOWN White Coffee dengan kerjasama MyKuali iaitu pengeluar mi white curry segera menghasilkan rangkaian white curry yang dijamin halal," katanya.

Bercerita mengenai keunikan hidangan ini, selain menjadi hidangan tradisional masyarakat Cina, white curry yang disajikan di OLDTOWN White Coffee ini unik dan lebih enak daripada kari biasa.

"Rangkaian white curry di OLDTOWN White Coffee ini cukup unik kerana ia menggabungkan dua resipi iaitu ramuan daripada MyKuali dan sup OLDTOWN.

"Gabungan 30 bahan daripada rempah asal MyKuali dan bahan istimewa daripada sup OLDTOWN menjadikan white curry ini cukup enak," katanya.

Lebih istimewa, promosi white curry OLDTOWN ini turut disertakan hidangan air yang unik dan hanya disajikan di OLDTOWN iaitu Peanut White Freezy.

"Minuman Peanut White Freezy, ini sesuatu yang unik kerana ia adalah gabungan soya, kacang dan aiskrim.

"Gabungan minuman dan mi kari ini sangat unik kerana kari pedas dan Peanut White Freezy, ini menyejukkan badan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Clarence Leon D'Silva berkata, walaupun hidangan white curry di Pulau Pinang biasanya tidak halal, pelanggan tidak perlu bimbang kerana hidangan yang disajikan di OLDTOWN White Coffee ini dijamin halal.

"White Curry di OLDTOWN ini mempunyai sijil HALAL daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), justeru, pelanggan Islam boleh menikmatinya tanpa ragu-ragu," katanya.

Mula dihidangkan 1 Disember sehingga 31 Januari 2015 atau sehingga stok masih ada di semua rangkaian restoran OLDTOWN White Coffee di Semenanjung Malaysia, Rangkaian white curry ini menyediakan lima jenis hidangan mi.

Antaranya mi, bihun, macaroni, pan mi dan hor fun dan harga promosi untuk lima jenis white curry ini bermula dari RM7.90 hingga RM9.90.

Dengan harga yang cukup berpatutan ini, pihaknya berharap hidangan white curry ini dapat dirasai semua pelanggan.

"Menerusi hidangan pengenalan ini, pelanggan tidak perlu lagi mengembara sehingga ke Pulau Pinang untuk menikmatinya dan pelanggan Muslim yang tidak pernah merasainya boleh menikmati hidangan yang cukup istimewa ini.

"Jika promosi ini berjaya, ia mungkin akan dimasukkan dalam menu terbaru OLDTOWN yang akan dilancarkan pada Mac tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:02 AM