KEADAAN blok rumah kedai dekat Bandar Seremban Selatan yang terbiar dan dipenuhi sampah sarap. - FOTO AZRUL EDHAM
KEADAAN blok rumah kedai dekat Bandar Seremban Selatan yang terbiar dan dipenuhi sampah sarap. - FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Syarikat pemaju seharusnya bertanggungjawab terhadap isu rumah kedai terbiar dan dipenuhi sampah sarap di Bandar Seremban Selatan, di sini selaku pihak membangunkan kawasan.

Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali berkata, siasatan pihaknya mendapati isu itu timbul apabila rumah kedai berkenaan tidak terjual dan hanya sebahagiannya yang beroperasi.

"Pemaju sepatutnya mengambil tanggungjawab terhadap perkara ini.

"Kami meneliti semua masalah ini dan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk memastikan pemaju bertanggungjawab," katanya.

Buat masa ini, Masri berkata, pihaknya mengambil langkah awal dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan bagi pemantauan dan penguatkuasaan.

Mengenai longgokan sampai, katanya, pihak SWCorp pernah membersihkan kawasan berkenaan dan mengeluarkan 100 tan sampah pada 2021.

"Kami sangat kesal apabila rumah kedai ini terus dijadikan tempat pembuangan sampah haram. Isu sampah ini di bawah SWCorp selaku badan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

"Bagaimanapun MBS tidak lepas tangan begitu sahaja, kami turut bantu proses pembersihan dan bagi memastikan kejadian tidak berulang dam memasang CCTV di beberapa lokasi.

"MBS tidak boleh pasang CCTV di setiap sudut kawasan berkenaan. Kami perlu beri tumpuan di kawasan lain juga ditambah dengan kos pemasangan peranti ini mahal," katanya.

Menurutnya, banyak lokasi lain di Seremban yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram dipasang CCTV dan didapati berkesan menangani isu itu.

"Cuma isu utama bagi Bandar Seremban Selatan adalah bangunan terbiar yang mendorong jadi tapak pembuangan sampah haram dan masalah lain.

"Kami sedia berbincang dengan pemaju bagi mengatasi masalah ini. Bagaimanapun, ia berbalik kepada masyarakat kerana beberapa isu disebabkan sikap penduduk," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan penduduk Bandar Seremban Selatan meluah kebimbangan mengenai rumah kedai terbiar di kawasan perumahan itu yang bukan hanya menyakitkan mata, bahkan menjadi tapak pembuangan sampah haram dan lokasi orang mabuk pada waktu malam.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 7:45 AM