SEBUAH rumah di Taman Surian, Mantin, di sini, yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran pihak berkuasa yang menimbulkan rasa tidak selamat kepada jiran. Foto Ahmad Hasbi.
SEBUAH rumah di Taman Surian, Mantin, di sini, yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran pihak berkuasa yang menimbulkan rasa tidak selamat kepada jiran. Foto Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi


Seremban: Mahkamah Majistret di sini, sebelum ini sudah mengenakan denda kepada pemilik kediaman yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran di Taman Surian, Mantin, selain memerintahkan supaya kerja pembinaan dihentikan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, pihaknya juga sebelum ini sudah mengeluarkan tiga notis arahan dan sitaan di tapak binaan kepada pemilik premis bagi memberhentikan kerja binaan dan merobohkan binaan tambahan.

"MBS juga menjalankan pendakwaan terhadap pemilik premis mengikut Peruntukan Seksyen 70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM50,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya.

"Mahkamah Majistret di Seremban mendapati pemilik premis bersalah dan mengenakan hukuman denda dan sekiranya tidak dijelaskan, boleh dipenjara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masri berkata, berikutan sabitan bersalah itu, pemilik premis tidak dibenarkan melaksanakan sebarang kerja pembinaan di premis berkenaan sehingga mendapat kelulusan daripada MBS.

"Sehingga kini, MBS belum menerima sebarang permohonan kelulusan pelan daripada pemilik dan Majlis sentiasa memantau premis itu bagi memastikan kerja pembinaan tidak dijalankan," katanya.

Masri berkata, pihaknya meminta warga bandar raya Seremban untuk mendapatkan kelulusan bagi kerja pengubahsuaian bagi menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum.

"Segala tindakan yang diambil adalah bertujuan bagi mensejahterakan keharmonian warga bandar raya.

"Majlis meminta warga bandar raya Seremban yang mempunyai sebarang aduan, pertanyaan atau cadangan boleh hubungi MBS di talian 06-7654333 / 7654444 atau kemukakan terus melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my," katanya.

Media semalam melaporkan kemelut rumah yang diubahsuai secara melampau dan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Taman Surian belum selesai.

Selepas isu berkenaan dibangkitkan lebih setahun berlalu, keadaan rumah berkenaan masih terbiar dan ditinggalkan sebelum isu terbabit kembali tular, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 1:37 PM