V SIVAKUMAR. FOTO Arkib BERNAMA
V SIVAKUMAR. FOTO Arkib BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

Kuala Lumpur: Menteri Sumber Manusia V Sivakumar perlu bercuti dari tugasnya sebagai menteri sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selesai menjalankan penyiasatan terhadap kes berkenaan.

Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim berkata tindakan itu menunjukkan teladan positif selaras dengan agenda Pakatan Harapan untuk membasmi rasuah.

"Yang Berhormat Menteri tentu lebih faham mengenai prinsip 'tanggungjawab kolektif' dan 'tanggungjawab menteri' dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau kabinet Kerajaan Persekutuan.

"Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan.

"Setiap menteri harus ada tanggungjawabnya sendiri untuk menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah dalam jentera kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Difahamkan, ia bagi menjejaki wang yang didakwa diperoleh Sivakumar.

Penggeledahan itu dilakukan SPRM sebaik saja keterangan menteri itu diambil pada hari sama bagi mendapatkan bukti.

Pada 14 April, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

Sementara itu, Anwar memberitahu bahawa penahanan beberapa pegawai Sivakumar adalah keputusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja jika ada asasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang menyifatkan tindakan Sivakumar yang tidak mahu bercuti dari jawatannya itu boleh merosakkan Kerajaan Perpaduan.

"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Setakat ini YB Menteri Sumber Manusia bukannya suspek, bukannya orang yang dituduh.

"Tetapi fakta dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM dan rumah serta pejabat dilawati oleh SPRM bukanlah sesuatu yang molek bagi wajah anggota kabinet kerajaan yang dikenali sekarang sebagai Kerajaan Madani.

"Saya percaya YB Menteri mempunyai jiwa yang besar dan punya hati nurani yang jernih dan mulia. Sebagai seorang ahli parlimen dan pemimpin politik yang berpengalaman adalah terhormat bagi YB V Sivakumar mengambil tindakan yang tepat.

"Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletakkan jawatan sekarang. Sekurang-kurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu dari tugas sebagai seorang menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 11:57 AM