JEMAAH Masjid Al-Muktafi Billah Shah beratur panjang untuk menjelaskan bayaran zakat sebaik tarikh Aidilfitri diumumkan. FOTO Baharom Bakar
JEMAAH Masjid Al-Muktafi Billah Shah beratur panjang untuk menjelaskan bayaran zakat sebaik tarikh Aidilfitri diumumkan. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bersetuju menggantikan cuti peristiwa yang sebelum ini diberikan pada Khamis kepada Rabu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira Aidilfitri yang disambut hari ini seperti diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, semalam.

"Minggu lalu kerajaan negeri mengumumkan Hari Kelepasan Am pada 5 Mei atau Khamis ini jika hari raya puasa jatuh pada Selasa dan cuti itu terbatal jika hari raya hari ini.

"Namun, selepas meneliti beberapa perkara, suka untuk saya umumkan bahawa cuti peristiwa tetap diberi dan diawalkan sehari iaitu pada Rabu," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan memberi cuti peristiwa itu bagi membolehkan seluruh masyarakat di negeri ini menyambut perayaan dengan penuh meriah bersama keluarga.

"Sudah dua tahun kita beraya dalam suasana penuh keterbatasan, jadi raya kali ini pasti memberi banyak makna kepada kita.

"Semoga seluruh rakyat negeri ini dapat menyambut Aidilfitri kali ini dengan penuh harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 11:02 AM