Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Pasangan suami isteri bersama seorang cucu selamat manakala barangan jualan raya di kedai mereka dianggarkan lebih RM100,000 hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Gaal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kebakaran membabitkan tiga bangunan iaitu satu rumah kedai tiga pintu, kilang roti dan kedai santan.

Anak mangsa, Wan Mohd Shahrul Wan Ahmad, 40 berkata, ketika kejadian ibu bapanya yang juga pemilik kedai runcit, Wan Ahmad Wan Daud, 64 dan Hasni Mohamad, 56 sedang berjual dalam kedai.

Katanya, turut berada dalam kedai itu anak lelakinya, Wan Rizhan Shah, 5 yang sedang tidur di ruang tamu kedai.

"Kedai kami di bahagian depan tempat barangan, bahagian belakang pula macam rumah ada bilik tidur, ruang tamu dan dapur, jadi masa kejadian ayah beritahu dia nampak api menyala di bahagian dapur.

"Ayah cuba padam kebakaran guna pemadam api, namun api makin marak dan saya bersyukur mereka bertiga sempat keluar sebelum kebakaran terus merebak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

WAN Mohd Shahrul menunjukkan wang tunai yang hangus dalam kejadian kebakaran di kedai runcit milik keluarganya di Kampung Gaal, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias.
WAN Mohd Shahrul menunjukkan wang tunai yang hangus dalam kejadian kebakaran di kedai runcit milik keluarganya di Kampung Gaal, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias.

Mohd Shahrul berkata, ayahnya juga sempat menghalang ibunya masuk ke kedai bagi mengambil wang dan barangan mereka yang disiapkan untuk jualan Aidilfitri.

Katanya, antaranya termasuk wang tunai RM50,000 dan barangan runcit yang bernilai lebih RM100,000 yang sepatutnya dijual sempena hari raya.

"Sejak ayah berniaga lebih 50 tahun , inilah kali pertama kejadian berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 11.30 pagi.

Katanya, operasi membabitkan tiga Fire Rescue Tender (FRT), satu pam water tanker, satu RRV dengan enam pegawai dan 15 anggota.

"Kedai runcit itu terbakar 100 peratus di mana 90 peratus struktur kedai adalah kayu manakala kilang roti hangus 30 peratus dan kedai santan terbakar 10 peratus selebihnya kita berjaya selamatkan," katanya.

Beliau berkata, punca dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 9:58 PM