Ruwaida Md Zain

Klang: Risikan selama beberapa minggu membongkarkan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi sebanyak 55,200 liter di sebuah premis di Jalan Johan Setia di sini, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, sepanjang risikan itu, pihaknya mengesan terdapat pergerakan lori yang mencurigakan di premis berkenaan.

Menurutnya, susulan risikan yang itu, satu serbuan dilakukan hari ini di premis yang disyaki melakukan aktiviti penyelewengan dan penyimpanan secara haram barang kawalan bersubsidi itu.

"Hasil serbuan, kami menemui lapan unit tangki gelongsor, empat lori dan empat unit badan tangki lori.

"Dua daripada lapan tangki gelongsor mempunyai diesel dan jumlah keseluruhan diesel yang terdapat dalam premis ini dianggarkan 55,200 liter dengan nilai rampasan RM605,000.

"Kita turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas Operasi Penyelewengan Diesel Bersubsidi di Premis Haram, di sini, hari ini.

MOHD Khairi (hadapan) ketika operasi penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Johan Setia, Klang. FOTO Faiz Anuar.
MOHD Khairi (hadapan) ketika operasi penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Johan Setia, Klang. FOTO Faiz Anuar.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah membeli diesel di stesen minyak berhampiran untuk menjalankan aktiviti penyelewengan itu.

"Kita percayai minyak yang ada dalam premis ini diperoleh daripada stesen minyak berdekatan menggunakan beberapa lori sebagai medium untuk memunggahnya.

"Bahan api itu kemudian dimasukkan dalam tangki lori secara penuh sebelum disedut keluar ke tangki dalam premis untuk dikumpul sebelum dijual di pasaran gelap.

"Siasatan juga mendapati kawasan dalam premis ini dilengkapi pagar yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti ini," katanya.

Beliau berkata, premis juga tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran dari Pengawal Bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi jenis diesel.

"Siasatan lanjut juga dijalankan bagi mengenalpasti mengenalpasti pemilik premis ini, serta transaksi pembelian dan jualan minyak diesel yang dijalankan.

"Berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti ini kira-kira setahun namun siasatan terperinci tetap dijalankan secara keseluruhan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 AKB 1961 - Memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan; dibaca bersama, Peraturan 3 PPKB 1974 - Berurusan Barang Kawalan Berjadual tanpa lesen.

"Selain itu, Subseksyen 20 (1) AKB 1961 iaitu memindahkan, membenarkan artikel dikawal untuk dikeluarkan atau membenarkan artikel disimpan di mana-mana premis yang tidak berlesen atau diberikan kelulusan oleh Pengawal untuk penyimpanan," katanya.

 MOHD Khairi (kanan) ketika operasi penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Johan Setia, Klang. FOTO Faiz Anuar
MOHD Khairi (kanan) ketika operasi penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Johan Setia, Klang. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 10:46 PM