KPDNHEP Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus membanteraa sindiket penyelewengan diesel bersubsidi secara tidak sah. FOTO IHSAN KPDNHEP
KPDNHEP Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus membanteraa sindiket penyelewengan diesel bersubsidi secara tidak sah. FOTO IHSAN KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


Klang: Aktiviti pemindahan barang kawalan bersubsidi bahan api jenis diesel secara tidak sah berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Pantai Aceh, Pulau Indah, di sini petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya menerima satu kes serahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kegiatan itu.

Katanya, dalam kes serahan itu, polis menahan lima lelaki termasuk empat warga tempatan dan seorang warga Bangladesh berumur lingkungan 22 hingga 63 tahun.

"Tiga daripadanya termasuk warga Bangladesh direman untuk siasatan lanjut dua dilepas dengan jaminan polis," katanya.

Katanya, kes serahan terbabit diterima di kawasan paya bakau berdekatan kawasan pelancongan kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal polis, pihaknya percaya wujud aktiviti pemindahan barang kawalan bersubsidi bahan api jenis diesel secara tidak sah.

"Semasa serahan dibuat , kita menemui kapal tongkang yang berada berdekatan dengan kawasan paya bakau dan dalam proses untuk memindahkan diesel.

"Kita percaya ia digunakan untuk menyimpan dan tujuan urus niaga kepada kapal-kapal lain yang berada di sekitar pantai dan paya bakau itu.

"Hasil pemeriksaan bersama PDRM, kapal tongkang terbabit disyaki dijadikan tempat simpanan diesel bersubsidi tanpa dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara barangan dirampas termasuklah sebuah lori tangki, sebuah kereta dan sebuah kapal tongkang dengan kapasiti 226,000 liter.

"Selain itu, tiga unit mesin bermeter kegunaan sedut bahan api, satu unit generator dan bahan api disyaki diesel anggaran 70,000 liter

"Peralatan komunikasi yang disyaki digunakan dalam aktiviti penyelewengan semasa di lokasi serbuan turut dirampas.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan dalam kes serahan ini ialah RM738,500," katanya.

Mohd Zuhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 AKB 1961 iaitu memindahkan barang kawalan jenis diesel ke premis yang tidak dilesenkan.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) PPKB 1974 - Berurusan Barang Kawalan Berjadual jenis diesel tanpa lesen yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 5:55 PM