DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail.
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kertas kerja kepada jemaah menteri di Parlimen berhubung pengurusan kanak-kanak yang berada di depot Imigresen seluruh negara dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengadakan banyak libat urus dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan pendapat mereka mengenai isu itu.

"Ini termasuk pertemuan dengan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Tan Sri Syed Hamid Albar di pejabat saya beberapa minggu lalu bagi berkongsi pandangan mereka berkaitan isu berkenaan.

"Malah, saya juga ada mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Parlimen dalam pelbagai perkara yang menjurus kepada isu kanak-kanak dalam depot Imigresen," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Singgah Sahur di Depot Imigresen Semenyih, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin berkata, seramai 1,030 tahanan kanak-kanak berada yang berada di 20 depot Imigresen seluruh negara sehingga 12 April lalu.

"Jumlah itu terdiri daripada 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan. Daripada jumlah itu, kanak-kanak dengan penjaga adalah seramai 351 orang iaitu 198 kanak-kanak lelaki dan 153 kanak-kanak perempuan.

"Sementara itu, seramai 679 kanak-kanak lagi pula tanpa penjaga membabitkan 381 kanak-kanak lelaki dan 289 kanak-kanak perempuan," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa proses perlu dilalui pihaknya bagi mengatasi isu berkenaan termasuk mengenal pasti jumlah jumlah tahanan kanak-kanak mengikut kategori umur.

"Hanya selepas proses itu, kita boleh mencari mekanisme bagi membawa keluar kanak-kanak berkenaan selain menentukan mereka di bawah jagaan siapa nanti.

"Di sini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan mereka untuk membantu menempatkan kanak-kanak ini dan bukan sahaja mendesak serta menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada kerajaan," katanya.

Dari aspek pendidikan kanak-kanak di depot Imigresen, beliau berkata, terdapat ruang pembelajaran kanak-kanak di lima depot Imigresen yang juga ikhtiar positif dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Ada kelas pembelajaran yang dikendalikan oleh pegawai Imigresen kepada tahanan kanak-kanak bagi mereka kenal huruf di lima depot Imigresen.

"Lima depot Imigresen yang menyediakan ruang pembelajaran dan aktiviti kanak-kanak itu adalah Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Belantik, Depot Imigresen Pekan Nenas dan Depot Imigresen Sementara Beranang," katanya.

Menurutnya, seramai 10,159 tahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) berada di depot Imigresen seluruh negara sehingga 12 April lalu.

"Daripada jumlah itu, 7,036 tahanan adalah lelaki, 1,404 wanita, 473 kanak-kanak lelaki dan 446 kanak-kanak perempuan, manakala jumlah tahanan di depot Imigresen sementara adalah seramai 1,238 orang.

"Jumlah itu membabitkan 781 lelaki, 246 wanita, 106 kanak-kanak lelaki dan 105 kanak-kanak perempuan," katanya.

Katanya, seramai 14,139 tahanan dihantar pulang dan diusir bagi tempoh sama membabitkan 10,625 lelaki, 2,907 wanita, 364 kanak-kanak lelaki dan 243 kanak-kanak perempuan.

"Pengusiran tertinggi direkodkan adalah membabitkan warga Indonesia iaitu seramai 5,571 orang diikuti Myanmar (3,285) dan Filipina (2,203)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 9:33 AM