Wan Hassan Wan Ahmad (tengah).
Wan Hassan Wan Ahmad (tengah).
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis masih memburu saki baki 96 tahanan etnik Rohingya yang merusuh dan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, kelmarin.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam Op Kesan semalam, pihaknya menahan semula 34 tahanan di sekitar lokasi dan daerah berdekatan.

Katanya, 432 tahanan ditemui membabitkan 218 lelaki, 88 wanita, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan.

"Baki seramai 96 orang yang masih diburu itu membabitkan 76 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hassan berkata, operasi masih dipergiatkan lagi di lokasi tertentu dalam usaha untuk mengesan saki baki tahanan yang masih belum ditemui.

Dalam kejadian kelmarin, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 11:00 AM