Anggota PGA melakukan operasi mencari saki baki tahanan Etnik Rohingya yang masih lagi bebas susulan kejadian lebih 500 orang tahanan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau pada awal pagi rabu lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Anggota PGA melakukan operasi mencari saki baki tahanan Etnik Rohingya yang masih lagi bebas susulan kejadian lebih 500 orang tahanan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau pada awal pagi rabu lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis mempergiatkan operasi mencari dan mengesan baki 80 tahanan pelarian etnik Rohingya yang merusuh dan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Rabu lalu.

Pada Op Kesan semalam, polis menahan semula lapan lagi tahanan di sekitar lokasi dan daerah berdekatan.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tahanan yang belum ditemui membabitkan 65 lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak perempuan.

"Jumlah keseluruhan tahanan yang sudah ditemui setakat ini ialah 448 orang terdiri daripada 229 lelaki, 89 wanita, 69 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan.

"Selain itu, jumlah terkini tahanan yang masih dalam depot adalah 15 orang terdiri daripada 13 lelaki dan masing-masing seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak," katanya.

Pada kejadian Rabu lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut selepas terbabit kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168, Lebuhraya Utara Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 11:55 AM